Pada hakikatnya Islam telah pun mendahului sistem demokrasi. Islam telah mengajarkan kaedah-kaedah dan realiti sebenar yang wujud di dalam sistem demokrasi. Dalam erti kata lain terdapat kaedah dan cara yang telahpun dipraktikkan oleh Islam sebelum datangnya sistem demokrasi ini. Namun begitu kaedah dan perincian daripada sistem tersebut adalah terserah kepada ijtihad dan keperluan semasa oleh kaum muslimin pada masa tersebut. 
Seperti mana yang kita fahami bahawa perkembangan agama itu haruslah disesuaikan dengan prinsip-prinsip dan kemaslahatan pada masa tersebut. Ini kerana kehidupan manusia itu senantiasa berubah. Manusia hidup dengan semakin ramai di atas muka bumi dan bertambah budaya dan teknologi. Ini menyebabkan perkembangan agama itu juga selaras dengan perkembangan manusia. Oleh yang demikian ijtihad-ijtihad baru perlu dilaksanakan termasuklah ijtihad di dalam bidang pentadbiran dan sistem pemerintahan. 


Kezaliman para penguasa menyebabkan manusia mencipta sistem sistem pemerintahan sepanjang sejarah peradaban manusia. Oleh yang demikian kita dapat lihat sistem demokrasi telah berjaya mencipta pelbagai cara yang mampu melindungi kepentingan rakyat. Walaupun terdapat kelemahan-kelemahan tertentu di sana sini, namun itu tidak bermaksud ianya sedikit demi sedikit berjaya menyelesaikan konflik di dalam menangani kezaliman pemerintah. Ini adalah perkara biasa kerana sistem ini merupakan juga ciptaan manusia. Sepertimana yang kita tahu manusia itu tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.


Tidak menjadi suatu yang bercanggah dengan agama ini jika ada golongan di kalangan muslimin yang memikirkan cara terbaik di dalam mentadbir sesebuah negara. Manusia akan memikirkan sesempurna mungkin apakah kaedah yang sebaiknya dalam menguruskan hal pemerintahan dalam sesebuah negara. Kita harus berlapang dada apabila ada di kalangan sarjana di dalam ilmu-ilmu Islam yang mengiktiraf dan menyokong sistem demokrasi yang ada pada hari ini. Ini kerana sisi-sisi baik dalam setiap demokrasi itu menepati tujuan dan maksud agama Islam itu sendiri. 


Jika kita tinjau dalam pengkaedahan Syariah, setiap perkara wajib yang tidak boleh disempurnakan kecuali dengan melakukan perkara lain, maka hukum melakukan perkara lain itu pun sudah wajib. Oleh yang demikian jika demokrasi kini sudah terbukti mampu untuk menyelesaikan isu-isu di dalam sistem pemerintahan sesebuah negara, maka pelaksanaannya itu juga adalah wajib. Demikian yang dinukilkan oleh Dr Yusof Qardhawi. 


Tidak ada halangan ataupun tegahan dari sudut syariah yang mengharamkan kita daripada mengambil pemikiran atau teori daripada luar kerangka Islam. Hukum ini dipanggil hukum tanfiz iaitu suatu hukum yang dinilai daripada sudut pelaksanaannya. Ini kerana hukum ini adalah suatu yang di luar perbincangan syariah yang qatie iaitu bermaksud terputus. Contohnya hukuman bagi orang yang mencuri itu adalah dia potong tangannya. Ianya sesuatu yang tetap dan tidak boleh diubah kerana telah disebutkan secara jelas di dalam Al-Quran. Namun bagi hukum yang lain sebagai contoh dalam isu pemerintahan negara, ianya boleh dilakukan berdasarkan ijtihad oleh orang-orang yang mempraktikkannya.


Nabi sendiri menggunakan buah fikiran Salman al-Farisi yang merupakan seorang pemuda dari Parsi. Baginda mengambil buah fikiran Salman yang mencadangkan untuk digali parit dalam membuat persiapan untuk perang Khandaq.   Cadangan Salman itu telah diambil kira oleh Nabi untuk diteruskan pelaksanaan cadangan tersebut. Adakah nabi berbuat silap dengan mengambil cadangan dari Salman itu? 


Nabi juga pernah menggunakan tawanan perang untuk mengajarkan anak-anak orang Islam menulis dan membaca sedangkan mereka itu adalah kafir. Apabila hikmah dan kebijaksanaan itu datangnya dari bukan Islam kita boleh mengambilnya selagi mana ianya tidak melanggar nas-nas yang telah terputus untuk diperbincangkan. 


Qardhawi menegaskan bahawa kita berhak untuk mengambil pemikiran dan kaedah dari system luar yang bermanfaat selagi mana ia tidak bercanggah dengan kaedah-kaedah Islam yang sedia ada. Apatah lagi jika kaedah dari luar tersebut mampu untuk menyelesaikan masalah yang juga merupakan tuntutan di dalam agama ini. Agama ini melarang penindasan dari kalangan penguasa dan pemimpin kepada rakyat. Jika demokrasi itu boleh memberi solusi maka tidak salah jika melaksanakannya. Pemikiran atau sistem yang kita ambil itu tentunya harus kita tambahkan dengan nilai-nilai kerohanian dari dalam agama kita sendiri. Sehingga ia tampil dalam bentuk yang lebih Islami. 


Itulah kaedahnya kita mengambil demokrasi. Kita mengambil kaedah dan sarana-sarana ni, lalu kita ubah dan tegakkan sehingga sesuai dengan ajaran agama. Kita juga meninggalkan sebahagian falsafahnya yang mungkin bercanggah dengan kaedah yang ada di dalam agama ini dan kita luruskan perkara tersebut dengan acuan dan prinsip Islam supaya ianya lebih sempurna. 


Ust Abdul Halim Ismail

17 November 20201 Rabiulakhir 1442H Bukit Katil, Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *