Pelbagai kecaman telah Al-Quran berikan kepada pemimpin dan penguasa yang zalim terhadap rakyatnya. Kezaliman itu bermula dengan sifat sombong dalam diri penguasa tersebut. Sifat sombong penguasa juga bermula dari sikap rakyat atau orang-orang bawahan penguasa yang taksub kepada pemimpin dan penguasa. Semua sikap dalaman diri manusia ini yang menjadi penyebab kepada kerosakan suatu pemerintahan yang bermula dari kesombongan, kezaliman dan akhirnya pemimpin itu dianggap sebagai tuhan.
Walaupun pada hari ini tidak ada lagi penguasa negara dianggap sebagai tuhan, namun begitu kefahaman menganggap penguasa dan pemimpin sebagai wakil tuhan di muka bumi ini masih ada. Atau juga ketaksuban dan ketaatan yang melampau itu seolah-olah pemimpin itu dianggap tidak melakukan kesilapan dan kesalahan. Ini juga seolah-olah menganggap pemimpin itu sebagai wakil tuhan yang bakal tidak melakukan kesalahan. Mereka menganggap pemimpin ini mempunyai hubungan yang kuat dengan tuhan. Lalu mana mungkin keputusan yang diambil oleh pemimpin ini adalah salah dan tidak bertepatan dengan kehendak tuhan.
Walaupun mereka tidak menganggap pemimpin mereka itu sebagai tuhan, namun meletakkan pemimpin itu bebas dari melakukan kesalahan sudah seperti mempertuhankan pemimpin tersebut. Semua ini adalah berpunca dari sifat sombong peminpin dan sikap taksub orang yang meyokongnya.
Al-Quran mengecam golongan yang yang mengakui dirinya sebgai tuhan. Hal ini pernah dilakukan oleh Firaun dan Namrud.
فَقَالَ أَنَا۠ رَبُّكُمُ ٱلۡأَعۡلَىٰ
(Firaun seraya) berkata: “Akulah tuhanmu yang paling tinggi”.
(Surah An-Nazi’at 79 : Ayat 24)
Bahkan di kalangan rakyatnya pula dia berkata dengan sombongnya ;
وَقَالَ فِرۡعَوۡنُ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡمَلَأُ مَا عَلِمۡتُ لَكُم مِّنۡ إِلَٰهٍ غَيۡرِي فَأَوۡقِدۡ لِي يَٰهَٰمَٰنُ عَلَى ٱلطِّينِ فَٱجۡعَل لِّي صَرۡحٗا لَّعَلِّيٓ أَطَّلِعُ إِلَىٰٓ إِلَٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّي لَأَظُنُّهُۥ مِنَ ٱلۡكَٰذِبِينَ
Dan berkata Fir’aun: “Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahwa dia termasuk orang-orang pendusta”.
(Surah Al-Qasas 28 : Ayat 38)
Pemimpin dan penguasa yang sombong ini pula mempunyai golongan yang kuat di belakang mereka. Jika kita lihat Firaun adalah seorang yang berkuasa dan sombong dengan kuasa dan pemerintahannya. Beliau disokong oleh Haman yang merupakan penasihat dan seorang yang hebat dalam politik. Haman menggunakan kepakarannya untuk menundukkan rakyat agar terus tunduk kepada Firaun. Ini meneguhkan lagi pemerintahan Firaun yang zalim serta sombong kepada tuhan. Manakala Qarun pula adalah seorang kaya dan ahli pernigaan yang berjaya. Pada zaman ini kita kenali sebagai kapitalis yang sentiasa mengambil kesempatan agar boleh menjadikan dirinya lebih kaya. Para kapitalis akan menggunakan pemerintah untuk memeras titik peluh rakyat agar mereka mendapat keuntungan dengan lebih banyak lagi.
Persubahatan ketiga-tiga golongan ini dinukilkan tuhan pada ayat berikut;
وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِ‍َٔايَٰتِنَا وَسُلۡطَٰنٖ مُّبِينٍ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ وَهَٰمَٰنَ وَقَٰرُونَ فَقَالُواْ سَٰحِرٞ كَذَّابٞ
Dan sesungguhnya telah Kami utus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami dan keterangan yang nyata, kepada Fir’aun, Haman dan Qarun; maka mereka berkata: “(Ia) adalah seorang ahli sihir yang pendusta”.
(Surah Al-Ghafir 40 : Ayat 23-24)
Kesepakatan mereka ini bukanlah berasaskan kaum kerana Qarun dan Firaun bukanlah dari kaum yang sama. Akan tetapi kerana kemahuan mereka adalah sama iaitu menguasai harta dan manusia, maka mereka boleh bekerjasama. Maka pada hari ini kita pun dapat lihta bagaimana kesepakatan golongan begini menjadikan negara dimiliki oleh orang-orang kaya dan penguasa yang zalim. Ini sudah pun diterangkan Al-Quran kerana sifat manusia itu sebenarnya tidak berubah walaupun dari zaman yang berlainan.
Apabila rakyat dan masyarakat menjadi orang yang celik dan memahmi akan situasi sebegini, maka tidak mudah bagi mereka menjadi taksub dan menyokong perbuatan yang zalim. Ianya bukan sahaj terdapat dalam prinsip agama Islam itu sahaja, bahkan ianya bersalahan dengan realiti fitrah manusia tidak menyukai sesuatu yang zalim walaupun dia tidak mempunyai akidah kepada Allah. Jika ada golongan manusia yang masih mendokong dan menyokong kezaliman, sudah tentulah dia termasuk di kalangan orang-orang yang sesat. Semoga Allah memberi petunjuk kepada mereka.
Ust Abdul Halim Ismail
9 November 2020
23 Rabiulawal 1442H
Bukit Katil, Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *