Masyarakat hari ini hanya melihat perkara yang menguntungkan dan memberi manfaat besar sahaja sebagai perkara yang benar. Sedangkan bukan semua perkara yang menguntungkan itu  benar walaupun ianya memberi manfaat. Sebagai contoh, mendapat pendapatan dari sumber judi tidak menjadi kesalahan hanya kerana tidak dapat bekerja akibat perintah kuarantin di rumah pada musim penyakit berjangkit. Walaupun di sana terdapat sumber lain yang boleh diusahakan untuk mendapat pendapatan.
 
 
Kecenderungan di dalam pemikiran masyarakat hari ini ialah, kita menilai sesuatu kebenaran berdasarkan sedikit atau banyaknya manfaat sesuatu itu. Kita berfikiran sekiranya suatu manfaat itu lebih banyak, maka lebih dekatlah ianya kepada kebenaran. Begitu juga sebaliknya apabila semakin kurang manfaat sesuatu itu, maka ianya akan semakin jauh dari kebenaran. Seratus peratus penilaian terhadap kebenaran itu kepada sejauh mana manfaat itu dapat diberikan.
 
 
Pemikiran yang dinamakan sebagai pragmatism ini pada hakikatnya adalah jauh daripada dasar keimanan. Penilaian akan sesuatu yang hanya disandarkan kepada manfaat akan tetapi tidak meletakkan kebenaran sebagai asas. Pemikiran ini merosakkan dasar keimanan yang mana meletakkan manfaat dan keuntungan sebagai asas akan sesuatu. Pragmatism ini adalah pemikiran logik yang hanya disandar kepada kemanfaatan keduniaan semata-mata. Akan tetapi ianya jauh daripada timbangan dosa pahala yang akan memberi kesan baik atau buruk kepada keadaan di akhirat nanti.
 
 
Pemikiran ini dilihat sebagai suatu yang kecil dan mungkin tidak mengancam pemikiran masyarakat. Akan tetapi sebenarnya ianya merosakkan pemikiran yang akhirnya masyarakat yang hanya cenderung kepada menilai keuntungan sesuatu dan menafikan kebenaran. Contohnya dalam isu yang melibatkan negara. Apabila seorang pemimpin yang mengamalkan rasuah dengan mengambil dana negara. Akan tetapi kita menafikan perbuatan jahat tersebut hanya kerana pemimpin itu memberi wang kepada rakyat yang diistilahkan sebagai bantuan. Ataupun dalam keadaan yang lebih teruk kita menyokong perbuatan tersebut hanya kerana berpendapat asalkan rakyat dikuasai oleh orang Islam atau yang sama bangsa dengan kita.
 
 
Pemikiran ini merosakkan nilai kebenaran, menafikan keadilan serta menyuburkan perbuatan yang salah yang akan dianggap kebenaran. Kita tidak boleh menutup suatu kesalahan yang lain hanya kerana seseorang itu melakukan suatu kebaikan yang lain. Ia sepertinya redha dengan perogol yang membayar satu juta kepada kita yang telah merogol seorang ahli keluarga kita.
 
 
Dalam situasi yang lain contohnya, seorang ahli pemegang amanah sebuah syarikat milikan awam telah memanipulasi laporan akaun syarikat. Pada tahun tersebut kita telah mendapat dividen yang banyak disebabkan perbuatan manipulasi tersebut. Akan tetapi pada tahun berikutnya kita mendapat dividen yang sedikit setelah pemegang amanah ditukar dan pemegang amanah yang lama telah didakwa di mahkamah. Kita menjadi marah hanya kerana mendapat dividen yang sedikit disebabkan sesuatu itu diurus dengan amanah. Akan tetapi kita tidak rasa bersalah mengambil dividen yang banyak akan tetapi  datangnya hasil dari urus tadbir yang tidak amanah. Kita beranggapan hanya keuntungan yang menjadi nilaian kebenaran sedangkan pada masa yang sama kita telah menafikan suatu prinsip keimanan yang menjadi asas kepada akidah kita.
 
 
Seorang muslim yang baik, akan menilai sesuatu itu berdasarkan kebenaran dan bukan kepada manfaat yang diperolehi. Dia akan mempertahankan kebenaran walaupun kebenaran itu merugikan pihaknya. Inilah nilai dan asas keimanan di dalam kehidupan. Kita menilai sesuatu bukan sekadar untuk mendapat keuntungan dan manfaat di dunia. Akan tetapi keimanan yang baik bakal menghalang seseorang daripada melakukan kejahatan walaupun kejahatan itu menghasilkan satu keuntungan dan manfaat kepadanya.