Tidak cukup sekadar kita mendakwa bahawa Islam sebagai satu agama yang menyeluruh dengan tidak menyatakan dengan terperinci apakah aspek-aspek yang termasuk dalam perkara kesyumulan tersebut. Menurut Hassan Al Banna, kesyumulan Islam terbahagi kepada 6 aspek penting. Iaitu
 
1. Islam adalah negara dan tanah air atau kerajaan dan umat.
2. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan.
3. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman.
4. Islam adalah material dan kekayaan atau hasil usaha dan kecukupan
5. Islam adalah jihad dan dakwah atau ketenteraan dan fikrah
6. Islam adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah
 
Enam aspek kesyumulan ini merupakan tunggak asas betapa Islam mencakupi keseluruhan kehidupan manusia. Islam tidak boleh tertegak dengan negara tanpa akidah, juga tidak boleh sempurna dengan ilmu tanpa akhlak. Tidak juga Islam itu menjadi unggul jika jihad  tanpa undang-undang. Antara aspek ini ianya berhubungan antara satu sama lain serta saling memerlukan bagi melengkapi Islam itu bukan sekadar sebagai satu agama, malah ia adalah suatu gaya hidup yang menjadi landasan kepada kehidupan manusia untuk menjalani hidup dengan fitrah yang sempurna.