Suatu perkara yang kita harus faham tentang demokrasi ini adalah tentang kesepakatan rakyat dalam memilih sendiri pemimpin yang mereka mahukan. Oleh yang demikian, mereka akan terhindar daripada memiliki pemimpin yang mereka tidak sukai. Sistem ini juga bakal menolak pemimpin yang rakyat tidak kehendaki jika pemimpin itu kalah dan tidak memenangi majoriti. Dalam pada itu juga, rakyat boleh menilai prestasi pemimpin yang dilantik adakah mencapai tahap yang diharapkan atau yang dijanjikan semasa kempen. Rakyat juga berhak menurunkan pemimpin yang tidak dikehendaki pada pilihanraya yang diadakan pada setiap tempoh yang tertentu.
Dalam sistem ini juga, rakyat tidak akan terpaksa mengikuti mana-mana sistem ekonomi, sosial, budaya dan sistem politik yang mereka tidak kehendaki. Mereka yang melawan arus dan tidak sehaluan dengan kehendak rakyat boleh ditegur dan dikritik. Jika mereka itu berkeras untuk tidak mengikuti sistem yang dikehendaki majoriti, maka bolehlah dia ditentang dan ditenggelamkan hasrat yang tidak mendapat sambutan tersebut.
Ini adalah realiti sebenar sistem demokrasi yang tertulis di atas kertas. Manusia mempraktikkan sistem tersebut dengan menyertai pilihanraya, pungutan suara orang ramai semasa membahaskan dasar kerajaan dan memberi peluang kepada pelbagai organisasi politik untuk mewakili suara rakyat dalam menyampaikan hasrat mereka. Tidak kurang juga sistem ini memberi peluang kepada rakyat untuk membuat bantahan, memberi kebebasan kepada media serta membebaskan mahkamah daripada cengkaman politik.
Oleh yang demikian, di celah manakah prinsip demokrasi yang digambarkan ini bersalahan dengan prinsip Islam? Agama ini menuntut keadilan diletakkan pada tempatnya. Maka memilih pemimpin yang mempunyai sokongan rakyat adalah pemimpin yang disukai. Maka itu adalah memberi keadilan kepada rakyat. Di manakah percanggahan prinsip ini yang bersalahan dengan dalil dari Quran dan sunnah? Bahkan tidak salah jika dikatakan sistem ini adalah sistem yang memberi gambaran kepada prinsip ajaran Islam.
Dalam satu hadis nabi yang bermaksud;
Terdapat tiga jenis manusia yang tidak akan diangkat pahala solat mereka sejengkal pun dari kepala mereka. Salah satu diantaranya adalah seorang imam yang memimpin makmumnya (di dalam solat) sedangkan mereka tidak suka kepadanya.
(H.R. Ibnu Majah)
Jika dalam solat pun, imam yang tidak disukai tidak akan mendapat pahala solat, apatah lagi jika pemimpin yang memimpin negara yang tidak disukai. Kita sudah melihat dalam sejarah bagaimana raja yang tidak disukai dan zalim pemerintahannya lalu menyerahkan kuasa kepada anaknya. Rakyat yang lemah tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk melantik pemimpin yang mereka mahukan. Adakah ini suatu yang adil kepada rakyat yang mahu berpayung kepada pemimpin zalim yang tidak mereka sukai?
Sudah tentulah Islam tidak akan berpihak kepada suatu sistem yang tidak adil. Islam adalah agama yang kita tahu datang dari tuhan yang maha adil. Mana mungkin tuhan yang mencipta manusia dan sekalian alam akan meredai suatu sistem pemerintahan yang tidak adil.
Dalam satu hadith lain disebutkan bahawa nabi telah bersabda;
Sebaik-baik pemimpinkamu adalah pemimpin yang kamu sukai dan menyukai kamu, kamu berdoa untuknya dan dia berdoa untuk kamu. Seburuk-buruk pemimpin adalah pemimpin yang kamu benci dan yang membenci kamu, kamu mengutuknya dan dia mengutuk kamu.
(H.R. Muslim)
Maka dengan ini sangat tepat bila dikatakan pemimpin yang dipilih dari kalangan rakyat adalah pemimpin yang disukai. Maka dengan itu ianya bertepatan dengan agama ini dan tidak bercanggah pun daru sudut keadilan dan kemaslahatan rakyat dan umat. Jika ada kecacatan, ianya datang daripada manusia dan ruang memperbaikinya masih ada. Sangat aneh dan janggal apabila saudara sesama muslim dikafirkan hanya kerana menyokong dan mendokong kefahaman ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *