Dalam kebanyakan masa, masyarakat hari ini menganggap agama, politik dan kenegaraan adalah suatu perbincangan yang berasingan. Apabila disebut politik dan kenegaraan, maka kita menganggap tidak ada panduan agama di dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan ijtihad. Kalau dilihat secara terperinci, sememangnya tidak ada suatu kaedah yang khusus atau fiqh yang benar-benar jelas dalam membahaskan isu-isu kenegaraan dan politik. Tambahan pula dengan suasana dan keadaan yang telah jauh berubah dengan zaman baginda nabi maka keadaan menjadi semakin sukar dalam melakukan ijtihad politik dan isu-isu yang berkaitan dengan kenegaraan.
Fiqh politik dan kenegaraan ini adalah suatu yang harus diberi perhatian oleh para ilmuan dan ulama, dan begitu juga kepada pemimpin negara dan ahli-ahli politik. Pada hakikatnya ianya adalah suatu yang amat dinamik dan anjal. Ianya berubah pada tindakan dan langkah. Namun ianya tetap kekal pada prinsip dan dasar. Oleh yang demikian, kecelaruan tindakan itu dapat dilihat dilakukan oleh pengamal-pengamal politik. Bagaimana menguruskan sesuatu yang dilarang dalam syariat dalam pada masa yang sama menjaga kemaslahatanyang lebih besar. Ianya menjadi lebih rumit apabila dalam keadaan hari ini dunia terpecah kepada blok-blok politik secara geografi dan masyarakat Islam tinggal di dalam negara yang berbilang kaum dan agama.
Setiap daripada komposisi kaum itu terdapat hak-hak yang perlu dipenuhi berdasarkan segala apa kontrak sosial yang dipersetujui. Dalam pada itu harus juga setiap tindakan dan langkah yang diambil pemimpin itu harus juga menepati dasar dan prinsip agama yang telah digariskan oleh dalil Al-Quran dan sunnah. Maka di sinilah bakal berlaku pertembungan di dalam mendahulukan sesuatu yang mana lebih utama dan lebih penting  dalam masa yang sama hendak menjaga kemaslahatan bagi semua pihak. Keputusan yang hendak dibuat perlu betul-betul tepat walaupun mungkin terdapat ketidakpuasan hati dari mana-mana pihak.
Hal ini menjadi lebih rumit apabila terdapat kejumudan-kejumudan tidak bijak yang berlaku di kalangan ahli agama yang menyempitkan sesuatu yang yang boleh dipermudahkan. Apatah lagi apabila mereka mengambil daripada kias dan contoh dari tindakan dan ijtihad nabi dalam berpolitik sebagai panduan. Sedangkan dalam konteks itu, peristiwa rujukan yang berlaku itu tidak bertepatan dengan perkara yang mahu dirujuk itu. Maka berlakulah perpecahan di kalangan umat yang melahirkan bibit-bibit persengketaan sesama muslim. Sedangkan yang diperdebat itu hanyalah isu kecil yang tidak ada betul dan salah secara mutlak.
Atas dasar itulah kami melihat bahawa fiqh politik dan kenegaraan harus dikuasai bukan sahaja di kalangan ahli agama, bahkan juga kepada para pemimpin, dan ahli politik yang terlibat secara langsung di dalam membuat keputusan di dalam sebuah negara. Perbincangan penulisan ini akan berkisar tentang isu-isu kenegaraan dan politik berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh Al-Quran dan sunnah baginda nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda).  Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat kepada yang menelitinya serta membentuk pemikiran yang benar dalam bernegara serta politik yang hendak disesuaikan dengan politik moden dan kaedah pemerintahan yang pelbagai wujud di dunia ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *