Konsep Negara

Dengan tidak hanya tertakluk kepada hal-hal yang berkaitan dengan ibadat dan akhirat sahaja, Islam juga merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan negara dan kenegaraan. Secara mudahnya negara bermaksud suatu kelompok manusia yang tinggal di suatu tanah atau wilayah tertentu, dan mempunyai penguasa atau pemerintah yang menguasai dan mengatur urusan kelompok manusia tersebut samada dari dalam atau luar wilayah tersebut.
Jelas di sini tiga elemen asas dalam suatu negara pertamanya *tanah atau wilayah tempat tinggal*, kedua *umat atau rakyat* dan ketiga *pemerintah* kepada umat rakyat tersebut. Tiga elemen asas inilah tertegaknya suatu negara yang berdaulat serta menjadi satu kesalahan jika ada mana-mana pihak yang melakukan perkara-perkara yang mengganggu keamanan wilayah tersebut sama ada dari luar atau dalam.
Jika ditelusuri sirah baginda Nabi Muhammad (selawat dan salam keatasnya), kedatangan Islam itu bermula dengan pemahaman tentang akidah kepada akhirnya membina sebuah negara Islam yang menjamin hak-hak umat rakyatnya dari segi harta dan nyawa mereka. Maka umat rakyat di dalam teritorial tersebut memberikan taat setia kepada pemerintah Islam tersebut yang mana paksi kepada pemerintahan tersebut adalah berasaskan akidah kepada Allah dan juga melaksanakan syariat Islam di dalam negara tersebut.
Dengan ciri-ciri yang telah disebutkan tadi maka lengkaplah syarat sesebuah negara yang boleh diiktiraf sebagai negara Islam. Tiga elemen asas negara iaitu wilayah, rakyat dan pemerintah dan ditambah satu ciri lagi iaitu kekuasaan terhadap negara itu dikuasai oleh orang Islam sudah cukup menjadikan ianya sebagai negara Islam selagi mana akidah Islam menjadi tunjang kepada pemerintahan negara tersebut selain mengamalkan syariat dan nilai-nilai Islam yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *