Pengertian Syumul – Islam adalah agama yang menyeluruh.
 
Apabila kita sebut perkataan Islam, ianya sinonim dengan umatnya yang dikenali Muslim yang merujuk kepada orang-orang yang menganut dan menjadikan agama ini sebagai pegangan hidup. Tidak kurang juga di antara muslim ini sentiasa mencanangkan bahawa Islam ini adalah sebagai cara hidup, “The way of life”. Namun begitu adakah kita benar-benar memahami konsep Islam sebagai satu cara hidup atau ianya sekadar mainan di bibir, atau juga hanya retorik yang kita sendiri pun tidak benar-benar memahaminya kerana kurangnya kefahaman sebenar dalam mendalami erti kata cara hidup.
 
Syumul – Menyeluruh mencakupi kesemua aspek kehidupan sehingga kiamat.
 
Jika diteliti secara mendalam, syumul yang dikatakan bermaksud menyeluruh ini bermaksud juga sebagai suatu perkara yang boleh dikatakan sempurna, dalam erti kata lain, tidak ada satu perkara pun yang tertinggal, untuk tidak disentuh oleh ajaran Islam ini diajarkan kepada umat dan penganutnya bagaimana menjalani kehidupan di dunia ini.
 
 
Baginda Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) datang bersamanya suatu kitab yang dijamin dan dijanjikan terpelihara sehingga kiamat iaitu Al Quran yang menjadi suatu asas atau perkara dasar bagi agama ini.
 
 
Allah SWT berfirman:
 
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ ۥ  لَحٰفِظُونَ
 
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
 
(Surah Al-Hijr 15: Ayat 9)
 
 
 
Dalam ayat ini jelas kepada kita, pengertian menyeluruh itu bukan sekadar bermaksud mengenai aspek kehidupan sahaja, malah ia juga menyeluruh dari segi masa dan zaman yang dijamin sehingga ke hari kiamat. Yang mana Al Quran adalah sebagai dasar kepada Islam, yang mencakupi segala keperluan kehidupan, terpelihara daripada kerosakan dan perubahan tangan manusia serta ianya juga mendasari kehidupan manusia sehingga ke hari kiamat. Suatu pengertian yang besar dan mungkin juga sukar berdepan dengan realiti dan situasi masa dan tempat yang sentiasa berubah. Namun inilah janji Allah kepada mereka yang beriman kepadanya, agar sentiasa berpegang kepada Al Quran yang menjadi teks dasar kepada agama ini.
 
 
Ada sesetengah pihak beranggapan bahawa Islam ini tidak lain hanya sekadar satu agama yang tidak ada bezanya dengan agama-agama lain yang terdapat di dunia ini. Golongan ini menganggap bahawa Islam sebagai salah satu agama yang tidak lain berkaitan dengan perkara ibadah sahaja dan sama juga dengan agama lain yang mengajak manusia kearah melakukan kebaikan. Sedangkan ibadah itu hanyalah salah satu elemen yang dibawakan oleh Islam. Malah kalau diteliti dari sirah Rasulullah, ibadat dan undang-undang adalah perkara yang agak terkemudian yang disyariatkan kepada umat Islam pada ketika itu.
 
 
Baginda Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda), hadir dikalangan musyrikin Mekah dengan suatu imej yang amat bersih, sehingga digelar sebagai Al Amin pada ketika itu yang jelas menampakkan sifat jujur dan amanah merupakan antara ciri terpenting dalam kehidupan Muslim dan menampakkan cerminan sebenar agama ini kepada Non muslim. Setelah turunnya wahyu, maka bermulalah episod kehidupan baru baginda Rasulullah yang menggalas satu tugas berat membawa manusia keluar dari kegelapan kejahilan dan kemusyrikan, kepada suatu kehidupan bertuhan yang terpandu oleh akidah dan syariat yang diturunkan melalui Al Quran sebagai teks dasar. Malah bukan sekadar akidah dan ibadat sahaja, ianya membawa kepada pembinaan sebuah negara yang memerintah rakyat yang merupakan umat kepada penganut agama ini dan membina nilai-nilai Islam sebenar bagaimana beragama dalam sebuah negara yang mempunyai sistem yang lengkap sepertimana yang telah diturunkan dari langit.
 
 
Namun begitu, dikalangan umat Islam masa kini yang beranggapan bahawa, Islam yang diturunkan melalui Al Quran ini diajarkan secara sangat detail dan terperinci. Sehingga perkara-perkara kecil pun cuba digali daripada Al-Quran untuk memenuhi keperluan hidup manusiawi. Ini merupakan suatu tanggapan yang tidak tepat malahan bersalahan sama sekali dengan konsep penurunan Al-Quran sebagai teks dasar. Dalam sesetengah perkara Al-Quran memperincikan perkara tersebut dalam teks Al-Quran itu sendiri, tetapi dalam sesetengah perkara yang lain ianya merupakan perkara ijtihadi yang mana Al-Quran itu hanya sekadar teks dasar sebagai panduan agar tidak umat ini tersasar dari landasan kebenaran yang digariskan oleh Islam.
 
Sebagai contoh perintah Allah agar mentaati perintah Allah dan rasul serta pemimpin di kalangan umat Islam,
 
Allah SWT berfirman:
 
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمٰنٰتِ إِلٰىٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ  ۚ  إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِۦٓ  ۗ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًۢا بَصِيرًا
 
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
 
يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوٓا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِى الْأَمْرِ مِنْكُمْ  ۖ  فَإِنْ تَنٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْأَاخِرِ  ۚ  ذٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
 
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
 
(Surah An-Nisa’ 4: Ayat 58-59)
 
 
Ayat 59 dari surah An Nisa’ ini didahului oleh ayat 58 yang menetapkan ciri-ciri pemimpin yang boleh diataati iaitu sifat amanah dan adil. Namun tidak diperincikan bagaimana sifat-sifat lain bagi seorang pemimpin kerana kita semua tahu sekadar mempunyai sifat amanah dan adil belum mencukupi memenuhi kriteria seorang pemimpin. Al-Quran hanya mendasarkan bagaimana ciri asas seseorang pemimpin, namun perincian mengenainya adalah sesuatu yang perlu dikaji manusia kerana telah dikurniakan kepada manusia suatu anugerah yang tak ternilai harganya iaitu nikmat akal. Maka dengan akal inilah digunakan untuk perkara ijtihad dan menghuraikan perkara-perkara yang didasarkan oleh Al-Quran berpandukan kepada Sunnah Rasulullah sebagai pelengkap kepada perkara dasar tersebut.