Selain memperkenalkan akidah kepada tuhan yang satu dan mengajarkan cara beribadat, Nabi kita Muhammad juga mengajarkan tentang tatacara kepimpinan di dalam sesebuah negara. Oleh yang demikian Islam itu lengkap sebagai sebuah agama dan cara hidup apabila menunaikan hak-hak manusia terhadap tuhan. Juga mengajarkan manusia menunaikan hak-hak mereka terhadap orang lain. Menunaikan hak inilah termasuk juga di dalamnya tentang politik dan isu-isu kenegaraan.
Nabi mengecam para pemimpin yang zalim dan mencengkam rakyatnya dengan kuku besi. Kekejaman terhadap rakyat membuatkan mereka tidak berani untuk menentang pemerintah yang zalim. Golongan pemerintah ini bakal mendapat balasan yang sangat berat dan dibakar dengan api neraka pada hari pembalasan nanti. Dalam satu riwayat oleh Abu Musa baginda nabi telah bersabda;
_Di dalam neraka jahanam terdapat suatu lembah dan di tengah lembah itu terdapat satu perigi yang bernama Habhab. Sungguh Allah akan menempatkan para penguasa yang zalim dan keras kepala di dalamnya._
(H.R. Tabrani)
Dalam satu riwayat lain yang di laporkan oleh Muawiyah baginda telah bersabda;
_Sepeninggalanku nanti akan muncul para pemimpin yang berkata dan berucap tetapi perkataan mereka tidak pernah disanggah dan dibantah. Mereka akan berhamburan melompat masuk ke dalam neraka sebagaimana kera yang melompat-lompat._
(H.R. Abu Ya’la dan At-Tabrani)
Pemimpin yang menindas rakyatnya serta berlaku zalim ke atas mereka sangat-sangat dibenci oleh Allah. Pemerintahan yang baik adalah pemerintahan yang mementingkan kebajikan rakyat berbanding dengan kepentingan-kepentingan yang lain. Menjadi pemimpin bukanlah suatu tempat untuk mengumpul harta dan kekayaan. Akan tetapi kuasa yang diberikan itu adalah untuk dimanfaatkan bagi menjaga hak-hak orang lain yang tidak terbela. Maka jika penyalahgunaan kuasa itu berlaku di kalangan pemimpin maka itu adalah amanah yang telah dikhianati oleh mereka.
Jabir meriwayatkan bahawa nabi pernah berkata kepada Ka’ab bin Ujrah ;
_”Semoga Allah melindungimu daripada pemerintahan orang-orang yang jahil wahai Ka’ab.” Ka’ab bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan pemerintahan yang dipimpin oleh orang-orang yang jahil itu?” Nabi bersabda, “Mereka adalah pemimpin setelah zaman ku yang tidak mengamalkan petunjuk ku dan tidak mengamalkan sunnah ku. Sesiapa yang mempercayai kebohongan mereka dan menolong mereka dalam kezaliman, ia tidak termasuk dalam golongan ku dan aku pula bukan sebahagian daripada mereka. Bahkan aku tidak membenarkan mereka untuk minum air daripada telaga Kausar. Manakala sesiapa yang tidak mempercayai pembohongan mereka dan tidak menolong mereka dalam kezaliman, mereka ialah dari golonganku dan aku termasuk di kalangan mereka. Mereka berhak untuk minum air dari telaga Kausar Ku.”_
(H.R Ahmad dan Al Bazzar)
Maka kezaliman itu adalah suatu yang harus ditentang. Keberanian menentang suatu kezaliman terutamanya menentang kezaliman pemerintah, adalah suatu yang mulia dan bakal mendapat pertolongan dari Tuhan. Sememangnya penentangan itu adalah suatu yang memerlukan pengorbanan dan bersusah payah. Akan tetapi ianya mendapat pahala yang besar di sisi Tuhan kerana berani menyatakan kebenaran dan menentang kebatilan.
Muawiyah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda;
_Tidak disucikan suatu umat yang tidak memutuskan perkara menurut dengan cara yang hak, dan golongan yang lemah tidak boleh mengambil haknya daripada golongan yang kuat tanpa bersusah payah._ 
(H.R. Tabrani)
Dalam hadis yang lain Abdullah bin Amru meriwayatkan bahawa nabi telah bersabda,
_Jika kamu melihat umatku merasa takut untuk mengatakan kepada seorang yang zalim dengan perkataan “Wahai Zalim!” Maka mereka telah ditinggalkan oleh Allah._ 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *