Walaupun perkembangan ilmu-ilmu Islam dalam perbahasan fiqh ibadah khasnya berlangsung dengan pesat, akan tetapi ada beberapa lapangan ilmu Islam yang dikatakan bersifat keduniaan agak ketinggalan di dalam perbahasan para ilmuan Islam pada suatu ketika dahulu. Pada sekitar abad kelapan hijriyyah, kita dapat melihat kegagalan para ilmuan berinteraksi dengan keadaan semasa yang mengalami krisis politik dan kenegaraan. Kegagalan itu menyebabkan berlakunya polisi-polisi kerajaan Islam yang pada ketika itu menyeleweng daripada dasar dan prinsip agama hanya kerana kedegilan para ilmuan untuk mengeluarkan ijtihad-ijtihad baru dalam memperbaharui polisi kenegaraan.
 
Para ilmuan pada ketika itu telah mengambil  penyelesaian dalam isu dalam negara daripada sumber dari luar syariat Islam. Mereka mengenepikan hukum syariat Islam dan mengambil hukum-hukum ciptaan manusia dalam menguruskan isu-isu politik dan kenegaraan yang menyebabkan dasar keadilan dan prinsip-prinsip dalam agama itu tidak digunapakai oleh pemerintah pada ketika itu kerana dinasihatkan oleh para ilmuan untuk mengambil sumber hukum dari luar kerangka syariat agama. Itu cerita dahulu.
 
Pada hari ini masih juga berlaku ada di kalangan para ilmuan yang menolak konsep dan polisi demokrasi yang tidak bertentangan dengan syariat dan agama. Mereka menuduh kaedah-kaedah seperti kaedah persepakatan dalam mesyuarat sebagai punca kuasa adalah suatu yang tidak relevan. Pada hemat mereka mesyuarat itu masih dikuasaai oleh ketua ahli mesyuarat yang mampu menerima atau menolak usul yang dicadangkan oleh para ahli mesyuarat serta berkuasa melantik sesiapa ahli mesyuarat yang disukainya. Sedangkan dalam praktis politik dan kenegaraan pada hari ini perkara semacam itu sepertinya tidak wujud.
 
Ada juga yang menolak keberwujudan parti-parti politik dalam sesebuah negara dan mengadakan sistem pilihanraya untuk melantik wakil-wakil rakyat untuk menjadi ahli mesyuarat di dewan pembuat dasar-dasar negeri dan negara. Bahkan ada juga di kalangan mereka yang jumud ini menolak keseluruhan sistem demokrasi secara total dan mengganggap sistem ini suatu yang tidak bertepatan dengan sistem yang digarispanduankan oleh Islam.
 
Selainnya juga berpendapat untuk menafikan hak dan peranan wanita sebagai terlibat di dalam pengundian dalam sistem pilihanraya. Tidak kurang juga yang berpendapat wanita tidak boleh jadi pemimpin bagi sesuatu organisasi atau mengetuai satu badan yang mempunyai hieraki yang besar. Jika pendapat seperti ini diterima maka umat ini akan kehilangan separuh dari potensi sebenar untuk maju kehadapan.  Ada juga yang berpendapat tidak seharusnya golongan non-muslim diberi bahagian dalam hak pengundian, atau menjadi calon yang diundi atau juga ikut terlibat dalam mana-mana bahagian dalam pentadbiran negara. Kita juga mendengar sebahagian pendapat yang mengatakan bahawa adalah tidak boleh seseorang mencalonkan dirinya menjadi pemimpin kerana berpegang kepada tidak boleh memberi seseorang yang meminta jawatan atau kekuasaan apabila mereka sendiri memintanya.
 
Maka ini adalah sebahagian daripada pendapat yang agak tertutup serta tidak menepati aspirasi semasa yang lebih terbuka dan berpegang kepada konsep kekuasaan adalah datang daripada suara kolektif. Golongan yang berpendapat seperti ini sebenarnya tidak ramai berbanding dengan suara ramai yang mula menerima konsep ini namun dipijak oleh golongan yang lebih berkuasa agar dapat menutup mulut mereka yang menyuarakan pendapat agar sistem yang lebih efisien dan adil dilaksanakan dalam menentukan kepimpinan. Sistem melantik pemimpin dengan suara ramai, walaupun tidak diasaskan oleh nabi namun secara dasar dan prinsip agama itu, ianya dilihat lebih adil dan menepati dasar keadilan yang dianjurkan oleh Islam.  Oleh yang demikian, apa yang akan kami sampaikan di dalam penulisan ini  adalah untuk mengupas sejauh mana prinsip politik dan kenegaraan yang dianjurkan oleh agama menepati sistem politik yang ada pada ketika ini. Semoga ianya bakal memberi manfaat dan membuka ruang pembicaraan dan kupasan yang lebih sihat di kalangan kita bagi mengenalpasti kaedah terbaik dalam menguruskan negara sepertimana yang dianjurkan oleh agama.