Dalam masyarakat muslim pada hari ini, terdapat beberapa kesalahfahaman tentang bagaimana meletakkan keutamaan tertentu mengikut keperluan. Menilai keutamaan itu adalah sesuatu yang dituntut, supaya setiap perkara yang dilakukan itu berlaku mengikut kadar kepentingannya mengikut syariat agama.

 

Dr Yusuf Al-Qardhawi telah menyusun sebuah kaedah fiqh yang dinamakan sebagai fiqh aulawiyat yang bermaksud fiqh keutamaan. Fiqh aulawiyat ini adalah kaedah bagaimana kita meletakkan sesuatu perkara pada susunan yang betul dengan adil. Perkara-perkara tersebut merangkumi tiga perkara di dalam agama. Yang pertamanya adalah perkara berkaitan dengan hukum. Kedua perkara yang berkaitan dengan pendirian dan yang ketiga adalah perkara yang berkaitan dengan gerak kerja atau dalam istilah moden nya prosedur operasi standard.

 
Dalam memahami fiqh keutamaan ini, secara mudahnya ianya adalah suatu kaedah bagaimana meletakkan sesuatu itu dengan susunan yang betul dan adil. Dalam menilai keutamaan itu hendaklah mengikut cara yang dibawakan oleh baginda nabi iaitu dengan melalui petunjuk, cahaya wahyu, dan akal.
 
Fiqh ini tidak meletakkan perkara yang tidak penting di atas perkara yang penting. Ianya juga tidak meletakkan perkara yang lemah mendahului perkara yang kuat serta tidak meletakkan perkara yang kecil mendahului perkara yang besar.
 
 
Allah SWT berfirman:
 
 
وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ
 
 
“Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.”
 
 
أَلَّا تَطْغَوْا فِى الْمِيزَانِ
 
 
“Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;”
 
وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ
 
“Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.”
 
(QS. Ar-Rahman 55: Ayat 7-9)
 
Asas kepada fiqh awlawiyat ialah meletakkan perbezaan antara pendirian, hukum, gerak kerja dan tanggungjawab mengikut susunan yang ditentukan.
 
Dengan memahami fiqh keutamaan ini, seseorang itu lebih faham perkara apa yang harus diutamakan di atas perkara yang lain. Amalan manakah yang lebih diutamakan berbanding amalan lain berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh sunnah. Dengan ilmu ini juga, seseorang itu akan sentiasa fokus terhadap ibadatnya dan pada masa yang sama juga dapat meningkatkan kualiti hidup di dunia dan seterusnya menjadi Muslim yang berjaya di dunia dan di akhirat.