Islam telah menetapkan bahawa mesyuarat adalah sebagai suatu medan yang terbaik dalam mencapai keputusan yang memberi kesan kepada ramai manusia. Para ahli mesyuarat menjadi wakil kepada komuniti masing-masing dan membawa suara kepada kepimpinan. Suatu keputusan yang dicapai dalam mesyuarat sudah tentunya untuk mencapai kemaslahatan semua orang yang di bawah payung pemerintahan dan bukan atas kapasiti kepentingan individu.
Jika ditinjau pada era nabi suatu masa dahulu, nabi melantik ahli-ahli mesyuarat di kalangan sahabat. Mereka ini memberikan pandangan dan idea kepada nabi sebagai pemimpin untuk membuat keputusan bagi kebaikan rakyat. Majlis mesyuarat ini juga boleh dikatakan sebagai medan memberi nasihat atau teguran kepada pemimpin. Kedudukan nasihat ini adalah sangat tinggi dalam agama sehinggakan nabi mengungkapkan bahawa kesimpulan dari keseluruhan ajaran agama ini adalah nasihat.
Yang demikian itu menunjukkan bahawa sistem demokrasi yang melantik pemimpin dari kalangan rakyat adalah suatu yang tidak bercanggah dengan dasar Islam itu sendiri. Pemimpin yang dilantik itu diberi mandat untuk menjadi ahli mesyuarat kepada suatu dewan perwakilan. Dewan perwakilan ini akan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat serta membuat dasar terhadap negara untuk. Ini juga boleh dikatakan sebagai sistem syura atau dalam bahasa lainnya ahli majlis mesyuarat.
Ianya mungkin tampak berbeza dengan apa yang dilaksanakan oleh Nabi. Namun begitu dari segi konsep dan prinsipnya adalah sama kerana sistem syura yang dilaksanakan oleh nabi adalah dalam konteks pada ketika itu. Dikatakan pada ketika itu penduduk Madinah bukanlah sangat ramai sepertimana hari ini. Ianya dikatakan hanya sebesar sebuah kawasan DUN kalau dinisbahkan kepada sistem kita pada hari ini. Walaupun dari segi hierarkinya sedikit berbeza, namun konsep mesyuarat itu telah ada pada ketika itu.
Ahli mesyuarat berkumpul dan menjadi wakil kepada kumpulan masing-masing untuk membawakan masalah ke peringkat tertinggi. Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan persetujuan dan pandangan yang telah difikirkan bersama oleh ahli-ahli mesyuarat yang merupakan perwakilan kepada rakyat. Maka konsep demokrasi itu sudah ada pada era nabi. Cuma ianya sedikit berbeza kerana keperluan pada ketika itu dan juga struktur masyarakat yang mungkin jauh bezanya dengan hari ini.
Mesyuarat majlis perwakilan ini juga adalah medan untuk menyuruh kepada kebaikan dan menentang perkara mungkar. Sepertimana yang telah kami sebutkan ianya menjadi medan nasihat kepada pemimpin. Tuntutan amar makruf dan nahi mungkar ini adalah suatu kewajipan biasa yang mesti dipatuhi. Bahkan agama ini menganggap bahawa jihad tertinggi kedudukannya ialah teguran atau sanggahan rakyat dihadapan seorang penguasa yang zalim.
Maka dengan itu bahawa kita dapat memahami menentang suatu kerosakan dalaman itu adalah lebih utama daripada mempertahankan serangan luaran. Ini kerana punca sebenar kepada serangan luaran itu adalah kerana masalah dari kerosakan dalaman. Itu adalah lebih penting untuk diperbaiki sebermula dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.
Ust Abdul Halim Ismail
12 November 2020
26 Rabiulawal 1442H
Bukit Katil, Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *