Firaun adalah contoh pemimpin sombong yang menindas rakyatnya. Beliau memaksa rakyatnya untuk mengikut telunjuk dan kehendaknya dengan cara memaksa mematuhi peraturan dan undang-undang zalim ciptaannya. Kesombongan FIraun ini adalah sangat jelas sehingga dirakamkan tuhan di dalam Al-Quran bagi menujukkaan kesombongan beliau itu membawa kepada kerosakan.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِى الْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَآئِفَةً مِّنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَآءَهُمْ وَيَسْتَحْىِۦ نِسَآءَهُمْ  ۚ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ
“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.”
(Surah Al-Qasas 28: Ayat 4)
Sepertimana yang telah kami sebutkan sebelum ini, antara peunca kepada kesombongan suatu kepimpinan itu adalh berpunca daripada ketaksuban pengikut atau rakyat yang berlebihan. Mereka memuja dan memuji pemimpin secara melampau menyebabkan pemimpin menjadi ego dan sombong. Semua kehendak mereka dituruti dan ditunaikan oleh orang-orang bahawannya. Akhirnya lahirnya sikap sombong dan pemimpin itu menjadi penguasa yang zalim dan membuat kerosakan.
Jika ditinjau pada hari ini, perkara seperti itu bukanlah suatu yang asing. Bahkan sangat banyak berlaku para pemimpin yang sombong  yang menjadi penindas kepada rakyat. Penindasan itu adalah kezaliman yang menyebabkan kerosakan. Kerosakan itu berlaku deng tercabulnya hak-hak rakyat seperti penyelewengan dana awam, rasuah yang tak terkawal bahkan lebih teruk sisten perundangan yang tidak adil.
Kerosakan sistem kehakiman akibat campur tangan pemimpin menyebabkan keadilan terhadap rakyat tidak berlaku dengan seimbang. Pemimpin yang melakukan kesalahan undang-undang tidak dihukum atau diberi hukuman yang ringan. Manakala pula jika rakyat melakukan kesalahan yang sama dihukum dengan berat. Sepertinya sebuah negara itu mempunyai dua set undang-undang yang berbeza sedangkan semua orang sepatutnya mendapat pengadilan yang serupa. Apabila berlaku kerosakan besar sebegini, maka hilanglah rahmat tuhan kepada sesebuah negara itu. Bagaimana tuhan mahu merahmati sebuah pemerintahan yang tidak adil di mana pemimpin tidak menjalankan amanah dengan betul dan benar.
Al-Quran bukan sahaja memerangi para penguasa dan penindas rakyat, bahkan mereka yang menjadi penyokong dan pendokong juga. Mereka yang menyerah diri menjadi penolong dan pembantu mereka juga yang membantu jentera kepimpinan mereka. Dalam konteks hari ini adalah penyokong-penyokong politik yang mendapat habuan dan ganjaran berupa jawatan. Mereka ini bersekongkol dengan pemimpin zalim yang menindas rakyat. Membantu dalam kerja-kerja jahat dan menjadi tangan-tangan hitam yang memeras keringat rakyat.
Golongan ini tidak akan terlepas dari mendapat pembalasan di hari kiamat kerana merekalah yang menjayakan kerja-kerja penindasan dan menzalimi rakyat yang tidak berupaya. Tanpa jentera dari penguasa yang zalim ini, mana mungkin kezaliman itu dapat dilakukan dengan skala yang besar kepada ramai orang di dalam sesebuah negara.
إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ وَمَلَإِيْهِۦ فَٱتَّبَعُوٓاْ أَمۡرَ فِرۡعَوۡنَۖ وَمَآ أَمۡرُ فِرۡعَوۡنَ بِرَشِيدٖ يَقۡدُمُ قَوۡمَهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فَأَوۡرَدَهُمُ ٱلنَّارَۖ وَبِئۡسَ ٱلۡوِرۡدُ ٱلۡمَوۡرُودُ
*Kepada Fir’aun dan pemimpin-pemimpin kaumnya, tetapi mereka mengikut perintah Fir’aun, padahal perintah Fir’aun sekali-kali bukanlah (perintah) yang benar.* Ia berjalan di muka kaumnya di hari kiamat lalu memasukkan mereka ke dalam neraka. Neraka itu seburuk-buruk tempat yang didatangi.
(Surah Hud 11 : Ayat 97-98)
Maka amat buruklah bagi mereka yang melakukan taghut dan kezaliman. Mereka itu adalah golongan yang rugi dan mendapat azab yang berat pada hari kiamat. Tidak terlepas juga para pengikut yang sama-sama menjayakan agenda kezaliman terhadap rakyat juga mendapat pembalasan yang setimpal. Semoga Allah menjauhkan diri kita daripada tergolong dari kalangan golongan yang dicela ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *