Dalam masyarakat hari ini, telah semakin banyak keutamaan-keutamaan yang sepatutnya diberikan lebih perhatian yang banyak, akan tetapi telah kurang diberi perhatian oleh masyarakat. Sama ada perkara-perkara yang bersifat spiritual, pemikiran, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan lain-lain.
 
Ini menyebabkan berlakunya kecelaruan pemikiran di kalangan kita khususnya umat Islam dalam memfokuskan sesuatu isu. Kita bakal membincangkan perkara yang remeh daripada perkara yang penting. Melebihkan isu kecil berbanding dengan isu besar, yang akhirnya pemikiran yang hanyut dengan cara pemikiran sebegini merugikan masa, melemahkan minda masyrakat serta akhirnya membawa kemunduran pemikiran dan seterusnya melambatkan proses pembinaan dalam ketamadunan.
 
 
﴿وَمَا يَسۡتَوِي ٱلۡأَعۡمَىٰ وَٱلۡبَصِيرُ  ١٩ وَلَا ٱلظُّلُمَٰتُ وَلَا ٱلنُّورُ  ٢٠ وَلَا ٱلظِّلُّ وَلَا ٱلۡحَرُورُ  ٢١ وَمَا يَسۡتَوِي ٱلۡأَحۡيَآءُ وَلَا ٱلۡأَمۡوَٰتُۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُسۡمِعُ مَن يَشَآءُۖ وَمَآ أَنتَ بِمُسۡمِعٖ مَّن فِي ٱلۡقُبُورِ  ٢٢﴾
 
Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat. Dan tidak (pula) sama gelap gelita dengan cahaya terang benderang. Dan tidak (pula) sama yang teduh dengan yang panas. Dan tidak (pula) sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).
 
(Surah Fathir 35 : Ayat 19 – 22)
 
Perumpamaan yang diberikan ini adalah mengenai mereka yang mampu untuk membezakan di antara suatu perkara itu dengan jelas dan mereka yang kabur dalam melihat suatu perkara yang yang sama tetapi tidak dapat menilai tahap kepentingannya, besar kecilnya dan keutamaan terhadapnya.
 
Pada keadaan masyarakat hari ini yang penuh dengan kekeliruan, bergelumang dengan informasi yang bercampur baur antara benar dan fitnah, telah menyebabkan mereka sukar membezakan sesuatu yang utama dengan yang tidak utama. Kebanyakan perkara yang dibincangkan telah menyimpang dari isu asal. Kebanyakan fokus, telah lari dari perhatian yang sepatutnya.
 
Kita dapat lihat kepekaan syarikat penyiaran dan berita, memasukkan berita-berita hiburan mengenai artis-artis yang menjadi kegilaan ramai. Jika seseorang artis itu sedang meniti zaman gemilangnya, maka segala macam berita mengenainya dilaporkan di dada akhbar malah dimasukkan juga dalam siaran berita  jam 8 malam yang biasanya dahulu berita di masa ini melaporkan isu-isu penting yang harus dan perlu diberitahu kepada masyarakat. Berita yang dilaporkan mengenai artis-artis bermula dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Dari menceritakan perihal bakat dan masa depan sehingga cerita perihal bangun pagi dan mimpi artis ini juga dilaporkan dan diceritakan.
 
Jika perkara-perkara recehan seperti ini dibincang dan diwacanakan pula oleh masyarakat kita pada hari ini, dibincangkan pula berita sebegini di media sosial, seperti facebook, twitter dan instagram, masyarakat berpemikiran bagaimana yang bakal kita lahirkan di masa hadapan? Ditambah pula media sosial hari ini digilai oleh golongan remaja dan mereka ini disajikan dengan cerita-cerita sedemikian. Lalu apakah yang kita harapkan pemikiran anak-anak kita di masa depan?
 
Artis-artis dan selebriti, bukanlah ilmuwan dan cendekiawan. Malahan pula mereka mempamerkan kehidupan yang tidak sihat seperti kelakuan sosial yang bebas, hidup dengan dunia glamor dan mengabaikan perkara-perkara yang berkaitan agama dan ianya pada keseluruhannya tidak boleh menjadi ikon dan contoh yang baik kepada masyarakat khususnya anak-anak kita pada hari ini.
 
Media massa pula cenderung mempamerkan kejayaan para selebriti dan artis di semua saluran media seperti majalah, radio, televisyen dan semua media sosial milik mereka bagi menyebarkan berita-berita sampah sebegini untuk hidangan masyarakat.  Apabila seorang artis meninggal dunia, akan diceritakan semula sorotan kehidupannya, sumbangannya serta menjadi gempar di seluruh stesen dan media.
 
Namun apabila matinya seorang tokoh ilmuan atau ulama, perhatian dan lensa media langsung tidak dihalakan kepada mereka. Tiada cerita-cerita yang menceritakan kehebatan dan sumbangan ilmuan ini. Tidak yang membuat liputan mengenai jasa dan pengorbanan mereka. Tiada pula yang melihat kehidupan anak dan isteri mereka jika terabai dan terbiar selepas beberapa tahun mereka pergi dan membela nasib warisan mereka.
 
Inilah yang dinamakan kehilangan fokus masyarakat terhadap sesuatu yang sepatutnya kepada sesuatu yang tidak sepatutnya langsung menjadi perhatian. Ilmu dan wacananya tidak diperbesarkan dan tidak diberi fokus sehinggakan hiburan yang dianggap kesenian mengambil tempat ilmu tersebut. Maka apakah yang bakal kita harapkan masa depan, jika kegagalan hari ini masih tidak dapat kita atasi kalau sekadar berimpian dengan masa depan.