Menentang kemungkaran dengan kekuatan mempunyai banyak kesan yang mungkin tidak dapat dijangka. Maka dengan itu semua sebab dan akibat yang berlaku hendaklah difikirkan dan dijangka sebelum sesuatu tindakan dilakukan. Ini termasuklah dengan memikirkan adakah penentangan terhadap suatu kemungkaran itu bakal menimbulkan kemungkaran yang lebih besar? Sekiranya perkara-perkara itu bakal mungkin berlaku, seharusnya difikirkan jalan yang lain untuk mencegah kemungkaran yang  sedia ada itu.
Sebagai contoh, jika seseorang mendedahkan suatu penyelewengan terhadap dana awam. Jika dilihat kesan dari pendedahan itu pemerintah mengambil tindakan yang lebih jauh seperti menangkap dan membunuh si pelapor  tersebut, adalah lebih baik ditangguhkan dahulu tindakan yang mahu diambil itu. Kemungkaran yang berlaku selepas tindakan itu dibuat adalah lebih buruk. Adalah sebaiknya ditangguhkan dan difikirkan jalan lain yang lebih sesuai bagi mencegah kemungkaran tersebut.
Rasulullah pernah bersabda kepada Aishah pada suatu ketika,
_Kalau bukan kerana kaummu baru dengan kemusyrikan, nescaya aku akan bina Kaabah di atas tiang-tiang Ibrahim._
Oleh yang demikian, para ulama berpendapat bahawa berdiam diri terhadap kemungkaran kerana khuatir terhadap kemungkaran yang lebih besar itu adalah dibolehkan di sisi syariat. Ianya dengan syarat didasari dengan sikap memilih satu mudharat yang ringan daripada mudharat yang lebih besar di antara dua kemudharatan yang berlaku.
Jika dilihat pula dalam kisah Nabi Musa dan Harun ketika nabi Musa naik ke bukit Tursina. Harun telah ditinggalkan bersama Bani Israel. Dalam tempoh itu Bani Israel telah menyembah berhala sapi yang diukir oleh Samiri. Ketika kembali kepada Harun, Musa sangat marah kerana hrun tidak berupaya menghalang Bani Israel menyembah berhala. Harun menjawab bahawa dia telah berusaha akan tetapi dia memilih dari mengelakkan perpecahan Bani Israel sekiranya menghalang perbuatan mereka itu. Hal ini telah tuhan nukilkan di dalam Surah Toha ayat ke 94.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِى وَلَا بِرَأْسِىٓ  ۖ إِنِّى خَشِيتُ أَنْ تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِىٓ إِسْرٰٓءِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِى
“Nabi Harun menjawab: Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!
(Surah ToHa 20: Ayat 94)
Maka kita jelas di sini bahawa menghidarkan suatu kemungkaran atau kemudharatan yang lebih besar adalah suatu yang harus difikirkan terlebih dahulu sebelum mengambil suatu tindakan menentang suatu kemungkaran yang lain. Berdiam diri terhadap kemungkaran yang kita tidak mampu cegah, bukanlah bermaksud kita menjadi seorang hamba tuhan yang dayus kepada tanggungjawab. Ini kerana membenci suatu kemungkaran yang berlaku di dalam hati, juga adalah suatu tindakan yang boleh dilakukan selain mencegahnya dengan tangan atau perkataan. Namun itulah selemah-lemah iman seperti yang dikatakan nabi terhadap perlakuan berdiam diri tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *