Pada pandangan agama ini seorang pemimpin itu adalah mewakili sekumpulan manusia untuk mentadbir urusan-urusan mereka. Mereka ini adalah golongan yang memberi khidmat kepada masyarakat. Dalam erti kata lain pemimpin itu sebenarnya adalah khadam kepada rakyat. Ia juga bermakna pemimpin itu bukan menjadi tuan kepada orang yang menaikkan mereka ke kedudukan sebagai pemimpin. 


Ini adalah sesuatu yang sudah menjadi salah faham sejak sekian lama. Rakyat itu menganggap pemimpin adalah seorang yang disanjung dan dihormati. Walaupun itu bukanlah sesuatu yang salah kerana fitrah manusia itu memang tunduk kepada pemimpin. Namun begitu itu bukanlah menjadi tiket kepada pemimpin itu untuk mempergunakan rakyat bagi mendapatkan kepuasan bagi pihak dirinya sendiri. 


Masalah kepada golongan awam ataupun rakyat adalah apabila mereka mempunyai rasa taksub kepada pemimpin yang mereka ikuti. Ketaksuban itu sehinggakan menganggap pemimpin ini sebagai seorang yang betul pada setiap masa. Akhirnya mereka menganggap bahawa penguasa itu terjaga daripada kesalahan. Salah dan silap mereka juga tidak boleh ditegur. Sedangkan di dalam agama ini menuntut bahawa pemimpin yang tidak boleh memimpin ke arah kemaslahatan rakyat boleh dinasihati ataupun ditukar dengan cara yang telah dipersetujui ramai.


Seorang muslim itu wajib menegur pemimpin yang tidak berjalan di atas landasan yang lurus. Ini kerana sekiranya pemimpin itu menyeleweng dengan menggunakan kuasa dan kedudukannya maka sewajarnya ia ditegur dan wajib bagi mereka untuk keluar daripada penyelewengan itu. Jika ditinjau para sahabat seperti Abu Bakar dan Umar telah mengambil jalan untuk memperingatkan kepada rakyat mereka supaya menegurnya jika dia melakukan kesilapan. 


Namun begitu di sesetengah tempat golongan rakyat menganggap pemimpin mereka itu adalah wakil dari tuhan. Walaupun tidak semuanya bersikap demikian, namun ianya berlaku subur di dalam bentuk lain yang lebih dahsyat kesannya serta merosakkan. Ada di kalangan kita yang seolahnya cuba mengembalikan amalan negara teokrasi yang sudah hampir tidak ada di atas muka bumi ini. Sehinggakan apabila pemimpin itu melakukan kesilapan, para pendokong dan penyokong akan membelanya bermati-matian walaupun kesalahan itu tampak jelas di mata orang lain.

 
Ada pula pemikiran yang menganggap bahawa kepimpinan yang terbaik adalah terdiri dikalangan oleh ahli-ahli agama. Mereka sepertinya terpengaruh dengan apa yang telah dilakukan oleh Abu Bakar dan Umar. Kedua-duanya mereka ini adalah orang yang kuat agamanya dan tinggi nilai kepimpinannya. Mereka menganggap bahawa ahli agama ini mampu membawa negara ke arah yang lebih baik. Sedangkan sebaiknya golongan agama memfokuskan kepada dasar-dasar ilmu yang boleh membantu kepada pembangunan negara. Mereka juga boleh berfungsi menjadi penasihat kepada pemimpin yang ada. 


Namun begitu apa yang berlaku kini adalah ahli-ahli agama ini bukanlah mempunyai kredibiliti yang tinggi seperti yang diharapkan. Bahkan mereka hanya menjadi nasi tambah kepada sebuah kerosakan yang telah lama berlaku di dalam sesebuah negara. Segala dalil dan juga nas digunakan untuk benarkan perlakuan salah mereka yang telah terlajak. Mereka menganggap bahawa golongan ahli agama ini mempunyai akhlaknya yang lebih baik berbanding dengan golongan profesional. Namun begitu ianya bukanlah seperti apa yang diharapkan. 


Sejarah telah membuktikan bahawa golongan ahli agamalah yang merosakkan sistem pemerintahan ini kerana mempergunakan nama Tuhan bagi membenarkan tindakan salah mereka. Oleh yang demikian adalah sebaiknya pemimpin itu adalah mereka yang beramanah dan mampu untuk menggalas tanggungjawab. Bukanlah menganggap bahawa apabila seseorang itu mempunyai pendidikan tinggi tentang agama maka mereka adalah yang terbaik dan sesuai nya menjadi pemimpin. Sedangkan mereka itu tidak mampu kerana urusan kepimpinan itu adalah suatu yang perlu dicerna oleh mereka yang mempunyai nilai kecerdasan yang tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *