Suatu benda yang tak terlihat oleh mata, akan tetapi wujud dalam ruang kosong dalam kehidupan setiap manusia, yang tak boleh diabaikan dan dianggap ringan, yang memandu tindak tanduk manusia sama ada baik atau buruk, bahkan ianya juga adalah merupakan perkara yang menentukan nasib hidup manusia. Itulah dia Iman.
 
Iman membawa manusia kepada kebahagiaan hidup di dunia atau kecelakaan abadi, sama ada memimpin tangan seorang manusia itu ke jalan syurga, atau menjerumuskannya ke lubang neraka. Oleh yang demikian itu, terpulang kepada kebijaksanaan manusia menggunakan akalnya untuk mencari hakikat sebenar dalam menentukan iktiqad mana yang harus diikutinya sama ada memilih untuk seberjajaran dengan fitrah atau melwan arus dengan fitrah.
 
Golongan pemikir telah banyak membincangkan hal ini. Tidak kira sama ada mereka itu seorang Islam atau non-muslim. Mereka membincangkan keperluan di dalam kepentingan dalam manusia untuk membuat suatu ketetapan di dalam beraqidah dalam kaedah yang khusus. Ada di kalangan mereka yang menyandarkan pemikiran mereka kepada suatu fitrah yang sedia ada dalam hati manusia seperti yang telah difirmankan Allah;
 
Allah Subhahu wa Ta’ala berfirman:
 
قَالَتْ رُسُلُهُمْ أَفِى اللَّهِ شَكٌّ فَاطِرِ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ  ۖ يَدْعُوكُمْ لِيَغْفِرَ لَكُمْ مِّنْ ذُنُوبِكُمْ وَيُؤَخِّرَكُمْ إِلٰىٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى  ۚ قَالُوٓا إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا تُرِيدُونَ أَنْ تَصُدُّونَا عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ ءَابَآؤُنَا فَأْتُونَا بِسُلْطٰنٍ مُّبِينٍ
 
“Rasul-rasul mereka bertanya: *Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi?* Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu. Mereka menjawab: Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata.”
 
(Surah Ibrahim 14: Ayat 10)
 
Firmannya lagi
 
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا  ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِى فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا  ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ  ۚ ذٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
 
“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, *itulah fitrah Allah menciptakan manusia (dengan keadaan semulajadinya)* untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
 
(Surah Ar-Rum 30: Ayat 30)
 
Tidak kurang juga yang menggunakan logik akal terhadap suatu yang sudah menjadi hukum alam tentang sebab dan akibat yang mana ianya menetapkan bahawa setiap sesuatu yang terjadi sudah pasti ada penciptanya, yang menjadikannya maka segala apa yang terjadi di atas muka bumi ini sudah ada yang menciptakannya. Suatu kuasa agung yang tak terjangkau oleh manusia biasa dan akal yang sihat bakal mengakui sedemikian.
 
Sebahagian manusia yang lain pula membicarakan hal ini dengan perhitungan kiraan dan logik matematik dan sains. Penemuan-penemuan baru yang menakjubkan dunia sains dan matematika itu akhirnya menjadikan mereka akur mengakui bahawa terdapat suatu kuasa lain yang menjadikan sesuatu yang mereka kaji itu. Kuasa besar itu sangat tidak boleh ditolak kewujudannya kerana manakan mungkin manusia biasa boleh mencapai tahap penciptaan sedemikian.
 
Itulah iman. Barang sesiapa yang beriman kepada Allah, maka sesungguhnya fitrahnya akan bertepatan dengan akalnya. Dia tidak akan berasa khuatir dengan keadaan dunia ini walau apa yang terjadi. Dia tidak akan risau untung rugi nasib dunianya asalkan hari akhirat di kemudian hari, dia yakin bakal beroleh keuntungan walau hidup dunianya melarat. Dia tahu bahawa setiap ibadat yang diwajibkan ke atasnya adalah untuk menyucikan jiwanya dan menjadi perantara hubungannya dengan penciptanya. Ibadah itu alangkah sedikit menggunakan tenaga yang dia  ada berbanding semua tenaga yang telah diberikan kepadanya. Segala apa larangan yang diperintahkan ke atasnya adalah untuk memelihara akal, jiwa, harta, akhlaq, dan kehormatan keturunannya.
 
Itulah iman, ia memelihara manusia agar tidak keluar berfikir dari kerangka akal fitrahnya. Agama pula memandu agar manusia tidak sesat dari suatu yang melangkaui perkara yang tidak sepatutnya dilakukan manusia. Setiap apa yang diharamkan agama pasti ada gantinya yang lebih baik yang tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia. Oleh yang demikian, tidak akan merasa rugi mereka yang beriman memelihara diri dari diharamkan bahkan mereka berasa beruntung terhadap sesuatu yang dilarang kerana ianya bertujuan menjaga dirinya dengan demikian terserlahlah kasih sayang penciptanya terhadap makhluknya yang memerintahkan sesuatu dan melarang sesuatu atas dasar rahmat kasih sayang Tuhan kepada makhluknya.