Terdapat banyak persoalan yang selalu dipertikaikan di kalangan ilmuan Islam hari ini. Persoalan itu adalah mengenai sistem demokrasi yang banyak dipraktikkan oleh negara-negara di dunia sekarang. Sebahagian daripada mereka mengatakan bahawa konsep demokrasi itu bercanggah dengan apa yang dibawa oleh islam. Mereka mendakwa bahawa sistem ini adalah membawa kepada kekufuran bagi sesiapa yang mendokongnya.
Hujah yang digunakan adalah kerana demokrasi merupakan konsep pemerintahan yang berasaskan rakyat dan hukum rakyat. Sedangkan dalam ajaran Islam bahawa pencipta dan penentu hukum hanyalah Allah subhanahu wa Ta’ala. Manusia tidak mempunyai hak dalam menentukan hukum. Namun begitu dalam sistem demokrasi wakil-wakil rakyat menentukan undang-undang di dalam satu negara. Mereka mengambil hujah daripada surah Al-An’am ayat 57.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
قُلْ إِنِّى عَلٰى بَيِّنَةٍ مِّنْ رَّبِّى وَكَذَّبْتُمْ بِهِۦ  ۚ مَا عِنْدِى مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِۦٓ  ۚ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ  ۖ يَقُصُّ الْحَقَّ  ۖ وَهُوَ خَيْرُ الْفٰصِلِينَ
“Katakanlah: Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Quran) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); *hanya Allah jualah yang menetapkan hukum;* Ia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan.”
(Surah Al-An’am 6: Ayat 57)
Walaupun ayat itu benar akan tetapi sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali, perkataan itu seperti benar akan tetapi maksud yang tersembunyi disebaliknya itu adalah batil. Oleh yang demikian perkara ini memerlukan satu perbahasan dan penjelasan yang terang.
Tidak sepatutnya dan semudah-mudahnya seseorang muslim itu mengkafirkan seorang Muslim yang lain. Bahkan nabi melarang bahawa orang yang melemparkan kekafiran kepada orang lain. mereka yang melemparkan tuduhan itu tanpa asas yang kukuh maka tuduhan yang dilemparkan itu adalah lebih layak kepadanya.  Oleh yang demikian adalah tidak sepatutnya melemparkan kekufuran kepada orang-orang yang melaksanakan demokrasi.
Ini termasuklah yang mengatakan bahawa sistem pilihanraya yang dibawakan oleh demokrasi itu adalah haram. Pergi mengundi di dalam pilihan raya juga dituduh sebagai haram dan berdosa. Bahkan mereka itu mengatakan bahawa semua mereka yang terlibat itu adalah termasuk ke dalam golongan orang-orang kafir.
Bagaimana kita mahu mengatakan demokrasi itu haram sedangkan majoriti manusia di timur dan barat berjuang untuk menegakkannya. Dengan sistem ini rakyat berjaya menjatuhkan penguasa yang zalim menerusi perjuangan pahit yang mengalirkan darah dan mengorbankan jutaan nyawa.
Mana mungkin suatu sistem yang mungkar dan membawa kepada kekufuran mampu menghapuskan kekuasaan individu yang berkuasa serta menindas dan menzalimi rakyatnya. Sistem kekuasaan klasik yang menyebabkan masyarakat Arab menjadi bangsa yang tertindas selama puluhan tahun akhirnya lenyap dengan munculnya sistem demokrasi.
Maka persoalan-persoalan inilah yang menjadi tanda tanya. Mengapa sesuatu sistem yang banyak memberi keadilan kepada manusia dianggap sebagai haram. Bahkan ianya menyelamatkan ramai manusia daripada tertindas dari seorang penguasa yang zalim walaupun penguasa yang beragama Islam. Sudah tentulah ianya tidak bercanggah dengan prinsip Islam bahkan itulah yang dituntut oleh agama ini terhadap penguasa kepada rakyatnya. Kita akan lihat apa sebenarnya intipati demokrasi yang tidak bersalahan dengan tuntutan agama dan akhirnya memberi kemaslahatan kepada umat Islam itu sendiri. Kami akan cuba mengupas perkara ini dengan ada dan waras supaya tidak ada ketaksuban yang akan  melenyapkan kebenaran sedangkan ianya merupakan sesuatu yang batil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *